Tuesday, August 19, 2008

Peringkat Perundangan ; Dasar-Dasar Am Perundangan.

1. perkembangan perundangan Islam itu telah dibahagikan kepada empat peringkat masa. Bincangkan.

= perundangan Islam terbahagi kepada empat peringkat masa. Yang pertama ialah zaman Rasulullah iaitu zaman pertumbuhan dan pembentukkan undang-undang. Masanya ialah 22 tahun dan beberapa bulan, iaitu sejak Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul pada tahun 610 masihi, sehingga wafatnya pada tahun 632 masihi.

Yang kedua ialah zaman sahabat, iaitu zaman penafsiran dan penyempurnaan undang-undang. Masanya ialah kira-kira 90 tahun lebih kurang mulai kewafatan Rasulullah pada tahun 11 Hijrah hingga akhir abad Hijrah yang pertama.

Peringkat ketiga ialah zaman pembukuan dan imam-imam yang Mujtahid iaitu zaman perkembangan dan kematangan undang-undang. Masanya ialah 250 tahun mulai tahun 100 Hijrah kepada tahun 350 Hijrah.

Zaman terakhir ialah zaman taqlid atau zaman kebekuan dan kebantutan. Masanya ialah mulai pertengahan abad yang keempat Hijrah dan penghabisannya tidak diketahui melainkan Allah
.

2. salah satu dasar yang menjadi asas perundangan ialah perseimbangan antara perundangan dengan maslahat manusia. Bincangkan mengenainya dengan memberikan contoh-contoh.

= Allah telah menyandarkan banyak dari hukum-hukumnya kepada muslihat manusia dan menunjukkan kepada mereka bahawa tujuan diperundangkan hukum-hukum itu ialah untuk memelihara muslihat dan kepentingan manusia.
Contohnya, Allah telah mewajibkan menghadap Baitul Muqaddis di waktu sembahyang, kemudian Dia membatalkan perintah ini dan mewajibkan Ka’abah, iddah isteri yang kematian suami ditetapkan pada setahun, kemudian dikurangkan pada empat bulan sepuluh hari sahaja.

Semua pembatalan ini menjadi suatu bukti bahawa perundangan Islam itu berjalan seimbang dengan muslihat dan kepentingan manusia kerana memelihara dasar perundangan inilah Allah meraikan adat-adat resam Arab didalam masa perundangan jika tidak meruntuhkan dasar agama dan selama tidak berlawanan dengan dasar agama serta tidak mendatangkan bahaya.


3. di antara dasar-dasar am yang menjadi asas perundangan Islam di zaman Rasulullah ialah Jimat Dalam Perundangan. Bincangkan.

= Dasar ini dapat dilihat dengan terang iaitu hukum-hukum yang telah diperundangkan oleh Allah dan RasulNya hanya sekadar memenuhi keperluan dan sekadar yang dikehendaki oleh kes-kes dan kejadian-kejadian yang berlaku sahaja. Tujuan terpenting dari dasar berjimat di dalam perundangan ini ialah kerana perundangan ini dituju untuk memenuhi keperluan orang ramai dan menjaga kepentingan-kepentingan mereka. Oleh itu, sewajarnya tiap-tiap zaman itu menumpukan perundangannya di dalam lingkungan kepentingan zaman itu sahaja supaya generasi yang akan datang tidak terhalang untuk mengadakan undang-undang baru yang boleh memenuhi keperluan dan memelihara kepentingan-kepentingan mereka.

4. sumber hukum Islam melalui al-Quran diturunkan secara beransur-ansur mengikut keadaan dan sesuai bagi setiap masa dan tempat. Bincangkan dengan membawakan contoh.

= ini adalah salah satu dasar am perundangan Islam iaitu beransur-ansur dalam perundangan. Hukum-hukum yang diperundangkan oleh Allah dan RasulNya tidak diturunkan pada suatu masa, bahkan ia diturunkan secara beransur-ansur dan berasing-asing selama 22 tahun dan beberapa bulan sekadar diperlukan oleh kes-kes dan kejadian-kejadian yang berlaku.

Contohnya, pada permulaan Islam, penganut-penganutnya tidak diwajibkan sembahyang lima waktu, bahkan mereka disuruh sembahyang begitu sahaja dengan rakaat-rakaat tertentu. Begitu juga dengan arak, judi, riba dan muamalat yang tidak betul yang diamalkan oleh mereka di zaman Jahilliah tidak diharamkan serentak kecuali sesudah Islam berdiri tegak di Madinah.

Tujuan dasar beransur-ansur ini ialah untuk menyenangkan para penganut yang awal-awal kerana mereka ini sudah terbiasa dengan cara hidup Jahiliah. Dasar ini juga adalah sebagai polisi untuk membiasakan orang menerima dan menjunjung hukum-hukum tanpa merasa penat dan bosan.

5. Diantara dasar pembentukan perundangan Islam ialah mudah dan ringan. Bincangkan.

= dasar mudah dan ringan dapat dilihat dengan terang di dalam perundangan Islam. Banyak hukum-hukum telah ditegaskan bahawa tujuan diperundangkan itu ialah supaya mendatangkan kemudahan dan keringanan kepada orang-orang Islam.

Jika dalam keadaan yang tertentu, orang mengalami kesulitan untuk menjunjung hukum, maka kebenaran diberi kepada mereka untuk meninggalkannya, dengan ertia perkara-perkara yang ditegah dan dilarang itu diharuskan semula diwaktu darurat , dan perkara-perkara wajib dan fardhu itu diharuskan untuk meninggalkannya bila mendatangkan mudharat.

Ada tersebut di dalam Hadith bahawa kebiasaan Rasulullah bila diberi pilih diantara dua perkara, maka baginda selalunya memilih mana yang terlebih mudah selama tidak menjadi kesalahan.

1 comment:

MaWaRDi said...

Untuk peringkat perundangan Islam, perlu dinyatakan adakah IJTIHAD digunakan sebagai salah satu sumber perundangan bagi setiap peringkat. And then, nyatakan jua sumber2 perundangan yg digunapakai untuk mengistinbatkan (mengeluarkan) hukum. Pas tu, terangkan secara ringkas important facts for each peringkat.

Sementara bagi Dasar2 Am Perundangan, if possible catatkan sedikit ayat-ayat Al-Qur'an and / or Hadith Rasulullah yg simple2 ja yg boleh menjadi dalil kpd dasar2 tersebut.
Salah satu contoh, bagi dasar Mudah & Ringan = which is equivalent to Rukhsah ialah seperti dinyatakan dlm Sabda Rasulullah s.a.w. ; "Jika tidak kerana menjadi keberatan kpd umatku, nescaya ku perintahkan mereka bersugi (membersihkan gigi) setiap kali hendak mengerjakan solat." Firman Allah, "Allah tidak memberatkan (membebankan) manusia melainkan apa yg terdaya / termampu diusahakannya."
Contoh-contoh yg relevan dgn isu semasa juga agak bagus utk diketengahkan.